Pemilik barangan lusuh rugi RM200,000 disamun di lampu isyarat

Oleh – Syeikh Baran


Pemilik barangan lusuh rugi RM200,000 disamun di lampu isyarat
Tangkap layar kejadian tersebut.

Seorang pemilik syarikat barangan lusuh melalui detik cemas apabila disamun di persimpangan lampu isyarat di Sekolah Kebangsaan Tamil Ladang Emerald, Seksyen 33, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.27 tengah hari itu, mangsa berusia 54 tahun yang memandu kenderaan tersebut bersendirian, mengalami kerugian RM200,000.



Insiden tersebut turut tular menerusi rakaman papan pemuka (dashcam) berdurasi seminit dari pengguna kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes tersebut daripada mangsa kira-kira pukul 2.41 petang semalam.

Katanya, berdasarkan laporan didapati mangsa yang memandu sendirian telah memberhentikan kenderaannya jenis Perodua Kembara di persimpangan lampu isyarat.

“Semasa kejadian, mangsa membawa wang tunai RM200,000 milik syarikatnya selepas membuat pengeluaran dari sebuah bank berdekatan.



“Wang tersebut dipercayai akan digunakan mangsa bagi urusan perniagaannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memberitahu, hasil rakaman video papan pemuka menunjukkan dua suspek lelaki yang memakai topi keledar dan menaiki motosikal telah berhenti di sebelah kiri kereta mangsa.

Ini diikuti sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang juga dinaiki kumpulan suspek sama bertindak menghalang laluan dengan memintas di bahagian hadapan kereta mangsa.

“Suspek yang membonceng motosikal telah memecahkan cermin sebelah pemandu menggunakan sebilah kapak dan mencabut kunci kereta bagi menghalang mangsa melarikan diri.



“Seorang lagi rakan suspek yang menaiki MPV tersebut telah membuka pintu penumpang hadapan kereta mangsa lalu membawa lari satu bungkusan beg yang mengandungi wang tunai,” ujarnya.

Tambah Mohd. Iqbal, mangsa merupakan pemilik dan pengarah syarikat peniagaan barangan lusuh tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semakan nombor pendaftaran Perodua Alza yang dinaiki suspek adalah palsu kerana didaftarkan atas sebuah kereta jenis Toyota Vios.

“Usaha mengesan dan menangkap kesemua suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.



Justeru, beliau memaklumkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Idayu Abdul Aziz ditalian 019-9459062.

Sumber – KOSMO! ONLINE

 

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button