Profesor seleweng dana RM270,000 bayar hutang, beli kereta

Oleh – Syeikh Baran


Profesor seleweng dana RM270,000 bayar hutang, beli kereta
Suspek ditahan reman selama tujuh hari selepas perintah reman dikeluarkan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan individu bergelar profesor yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat perkhidmatan pendidikan tinggi kerana dipercayai seleweng dana syarikat bernilai RM270,000.

Susulan penahanan itu, suspek yang berusia dalam lingkungan 60-an dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi tadi dan direman tujuh hari sehingga 30 Julai. Perintah reman itu dibenarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.



Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan wang RM270,000 untuk kegunaan peribadi termasuk membayar hutang, membeli kereta dan perbelanjaan peribadi lain.

“Suspek juga disyaki mengarahkan kakitangan syarikat menyediakan surat untuk bayaran gaji berjumlah RM12,000 sebulan sejak Mac 2023.

“Sedangkan surat pelantikan suspek sebagai CEO hanya melayakkannya menerima lima peratus daripada keuntungan tahunan syarikat,” katanya tadi.



Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button