Dua pelajar Universiti Seoul mati lemas di Lubuk Kain
Oleh – Syeikh Baran
Keterujaan dua pelajar Universiti Seoul, Korea Selatan yang sedang bercuti berkelah bersama lima rakannya di kawasan perkelahan, Air Terjun Lubuk Kain, Hulu Dungun di sini hari ini berakhir tragedi apabila mereka maut akibat lemas.
Kejadian pada pukul 1 tengah hari itu meragut nyawa Muhammad Danial Danish Kamal dan Nor Mukhriz Nor Mohamad yang kedua-duanya berusia 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, insiden lemas berlaku tidak lama selepas dua mangsa bersama lagi rakan mereka yang berasal dari Kuantan, Pahang tiba di lokasi perkelahan terkenal tersebut.
“Dua mangsa (Muhammad Danial Danish Kamal dan Nor Mukhriz Nor Mohamad) dikatakan mandi di kawasan berbatu yang lebih tinggi bersama seorang lagi rakan mereka iaitu Mohd. Azim Azad, 20.
“Empat lagi rakan mangsa pula mandi di kawasan bawah air terjun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Maizura berkata, tidak lama kemudian Muhammad Danial Danish, Nor Mukhriz dan Mohd. Azim dikatakan dihanyutkan oleh arus deras.
Tambah beliau, Mohd. Azim sempat berpaut pada pelampung yang dibaling pengunjung lain namun Muhammad Danial Danish dan Nor Mukhriz gagal diselamatkan lalu tenggelam ke dasar sungai tidak lama kemudian.
“Pasukan penyelamat menemui mayat kedua-dua mangsa di dasar sungai sedalam kira-kira 10 meter.
“Mayat mereka telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE