Buruh masuk penjara tipu bantuan e-Kasih

Oleh – Syeikh Baran


Buruh masuk penjara tipu bantuan e-Kasih
MUHAMMAD Halmi didakwa atas dua pertuduhan menipu menggunakan nama bantuan e-Kasih di Mahkamah Majistret Lenggong hari ini.

Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 42 bulan dan lima sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua kesalahan menipu menggunakan nama bantuan e-Kasih, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Halmi Ismail, 49, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari.



Mahkamah memerintahkan hukuman tersebut berkuatkuasa selepas tertuduh selesai menjalani pemenjaraan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar dan Ipoh.

Bapa kepada empat anak itu juga hanya perlu menjalani hukuman penjara 24 bulan kerana kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdayakan dua mangsa berusia 73 tahun dan 62 tahun untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM900 bagi tujuan pendaftaran akaun e-Kasih yang tidak wujud.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Stesen Bas Kuala Kangsar pada pukul 11 pagi pada 24 Julai 2023 dan sebuah bank di Kuala Kangsar pada 19 Oktober 2023.



Pendakwaan terhadap Muhammad Halmi dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh atas alasan penipuan membabitkan beberapa mangsa melibatkan modus operandi sama namun tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon dikenakan hukuman ringan dan berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button