Suami kejar isteri dengan gunting, mengamuk sebab bayi jatuh

Oleh – Syeikh Baran


Suami kejar isteri dengan gunting, mengamuk sebab bayi jatuh
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

Seorang pegawai pengurusan jenazah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menakutkan isterinya dengan mengejar mangsa sambil memegang gunting, Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohd. Ridzuan Mohd. Fauzi, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.



Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dengan niat menakutkan secara jenayah terhadap isterinya, Siti Najira Abdul Sahak, 39, dengan cara mengejar mangsa sambil memegang sebilah gunting.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam di sebuah rumah di Pangsapuri Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah pada 20 Julai lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Difahamkan tertuduh ‘naik hantu’ selepas bayi mereka berusia tiga bulan dikatakan terjatuh dan mendakwa kejadian itu berlaku gara-gara mangsa cuai.



Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai pegawai pengurusan jenazah dengan gaji bulanan RM1,800 dan mempunyai dua orang anak.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Khairunnisak kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 beserta syarat tambahan tidak akan menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 29 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button