Culik sebab teringin anak perempuan

Oleh – Syeikh Baran


Culik sebab teringin anak perempuan
Mohamed Shahriza ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Besar, hari ini. FOTO SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

Mahkamah Majistret Sungai Besar, di sini hari ini diberitahu bahawa seorang penjual pisang goreng tergamak menculik dua kanak-kanak perempuan kerana dia teringin untuk mempunyai anak perempuan.

Bagaimanapun, tindakan itu membawa padah apabila dia dipenjara 24 bulan selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.



Pada prosiding tersebut, mahkamah menjatuhi penjara masing-masing sebanyak 12 dan 24 bulan namun berjalan secara serentak bermula hari ini.

Tertuduh juga didenda keseluruhan sebanyak RM2,000 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar.

Siti Hajar dalam penghakiman menegaskan tindakan tertuduh mengaku bersalah adalah jelas menzahirkan kekesalan dan keinsafan atas insiden yang telah berlaku itu.

“Namun begitu, hukuman harus bersifat deterrent (pencegahan) dan faktor kepentingan awam agar memberikan pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.



“Kesalahan culik berleluasa sekarang dan satu kesalahan serius pada pandangan mahkamah,” jelasnya.

Bapa kepada dua anak itu didakwa telah menculik dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 6 dan 8 tahun dari penjaganya yang sah di Taman Ikan Emas, Jeram di Kuala Selangor, kira-kira pukul 6.30 petang pada 19 Julai lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah melarikan dua kanak-kanak perempuan yang sedang bermain di hadapan rumah dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.



Tertuduh mengajak kedua-dua mangsa menemaninya untuk menghantar surat sambil memberikan wang tunai RM50 sebagai upah.

Mangsa telah mengikut tertuduh ke kedai runcit dan mengajak berjalan-jalan sekitar Jeram dan singgah di rumahnya (tertuduh) sebelum menghantar semula mangsa kira-kira pukul 7.45 malam.

Peguam Muhd. Muqri Mohd. khairi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Mohamad Shariza memaklumkan tertuduh merupakan penyara tunggal kepada isteri dan dua anak yang masih bersekolah dengan anggaran pendapatan sebulan sebanyak RM2,000.

“Tujuan tertuduh berbuat demikian (menculik) kerana dia menginginkan anak perempuan. Setakat ini, belum ada rezeki dengan dua anak tertuduh adalah lelaki.



“Tertuduh juga menghantar dua mangsa kepada penjaga atau keluarga mereka. Ini kesalahan pertama dan tertuduh benar-benar insaf.

“Justeru, mohon penjara dari tarikh tangkap dan berjalan serentak,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal memohon hukuman berat kerana kesalahan itu melibatkan kepentingan awam.

“Berlaku penculikan dan bukan seorang tetapi dua mangsa. Kes penculikan semakin meningkat dan boleh mengancam nyawa mangsa. Mohon penjara berjalan berasingan,” tegasnya.



Kosmo! sebelum ini melaporkan suasana di sekitar Jeram gempar apabila dua kanak-kanak dilaporkan hilang selepas dilarikan lelaki menaiki Bezza ketika pulang mengaji petang 19 Julai lalu.

Sumber -KOSMO! ONLINE

 

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button