DBKL kenal pasti pokok sesuai ditanam di KL

Oleh – Syeikh Baran


DBKL kenal pasti pokok sesuai ditanam di KL
DBKL sentiasa memantau pokok-pokok di sekitar Kuala Lumpur bagi memastikan orang awam terutama pengguna jalan raya selamat. – AMIR KHALID

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti jenis pokok yang sesuai untuk ditanam di ibu negara bagi menggantikan pokok-pokok berisiko tumbang di Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, jenis-jenis pokok itu dikenal pasti berdasarkan keadaan cuaca di ibu negara yang sering berubah.



“Pokok ini akan digunakan sebagai senarai pokok untuk diganti kepada pokok-pokok berisiko tinggi. Kita mengambil kira bukan saja jenis pokok bahkan keluasan tanah, jenis tanah dan sebagainya.

“Kita mengambil kira keadaan cuaca yang sering berubah. Kita lihat lebih teliti pokok yang sesuai untuk di tanam di satu-satu Kawasan,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Salehuddin Saidin berhubung penanaman pokok kecil di ibu negara berbanding menanam pokok besar di ibu negara sebagai langkah mengelakkan risiko kepada orang ramai.

Terdahulu, beliau memaklumkan, sebanyak 236,551 pokok telah di inventori dan dimasukkan dalam sistem e-pokok oleh DBKL bertujuan merekod data inventori pokok, penanaman pokok baru, daftar pokok serta kerja-kerja penyelenggaraan pokok.



Menurut beliau, penilaian risiko pokok secara bertahap mempunyai tiga peringkat iaitu Tahap 1 melibatkan non-Arborist membuat pemeriksaan pokok melalui penilaian visual berdasarkan pengalaman kerja dan pengetahuan dalam bidang arborikultur.

Kata beliau, Tahap 2 adalah melalui Visual Tree Assestment (VTA) yang dilaksanakan oleh Arborist bertauliah dengan menggunakan standard yang ditetapkan oleh International Society of Arboriculture (ISA).

“Tahap 3 iaitu penilaian terhadap keadaan struktur pokok menggunakan peralatan khas yang dinamakan Resistrograph dan mengunakan khidmat “tree climber” untuk membuat penilaian di setiap bahagian atas pokok,” katanya.

Tambah beliau, DBKL turut menjalankan pemeriksaan secara komprehensif dan terperinci bagi kerja-kerja pemeriksaan kesihatan dan kesuburan pokok yang tidak boleh dilihat dengan Visual Tree Assessment (VTA) seperti bahagian akar, batang dan silara pokok.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button