Penganggur didakwa bunuh lelaki

Oleh – Syeikh Baran


Penganggur didakwa bunuh lelaki
Mazlan Mat Noh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki di perhentian bas di tepi lorong Che Majid, Jalan Sultan Yahya Petra. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki, 13 Julai lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mazlan Mat Noh, 47, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.



Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang lelaki, Abdul Hayyiy Ismail Yahya, 31.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di perhentian bas di tepi lorong Che Majid, Jalan Sultan Yahya Petra di sini, antara jam 9.29 pagi hingga 10.15 pagi, pada 13 Julai 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan boleh dikenakan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



Terdahulu, Muhammad Aiman Syahmi tidak mencadangkan sebarang jaminan dan mohon tarikh untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia serta kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia dan laporan bedah siasat daripada forensik.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam di bahagian belakang badan, 13 Julai lalu.

Mangsa ditemukan orang awam di kawasan kaki lima sebuah perhentian bas pada jam 10 pagi selepas terdengar suara meminta tolong.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button