Sindiket curi kereta mewah, 4×4, tumpas

Oleh – Syeikh Baran


Sindiket curi kereta mewah, 4x4, tumpas
M KUMAR (dua kanan) menunjukkan barang kes yang dirampas dalam Ops Lejang ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. FOTO Izz Laily Hussein

Tiga sindiket curi kenderaan mewah termasuk kenderaan pacuan empat roda (4×4) berjaya ditumpaskan polis dengan lapan tangkapan dibuat sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, lapan suspek lelaki berusia antara 27 hingga 49 tahun itu adalah dalang dan ahli sindiket menyasarkan kenderaan-kenderaan mewah dan 4×4 untuk dijual di pasaran gelap luar negara.



Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan sejenis alat dipanggil ‘programmer’ untuk menghidupkan enjin mana-mana kenderaan.

“Mereka juga akan menggunakan alat dipanggil ‘jammer’ untuk mematikan semua peralatan GPS dan sebagainya dalam masa 30 saat saja sebelum mereka melarikan kenderaan berkenaan.

“Sindiket ini aktif sejak lima hingga enam bulan dan selalunya bergerak dalam kumpulan dua atau tiga orang dan menggunakan kereta yang disewa,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, berdasarkan statistik dari Januari lalu hingga kini, jumlah kehilangan kenderaan 4×4 dan kenderaan mewah di kontinjen ini adalah sebanyak 69 buah yang mana ia mengakibatkan kerugian RM8.8 juta.



Katanya, sasaran sindiket bagi 4×4 adalah Toyota Hilux, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Toyota Fortuner yang mana kenderaan mewah serta 4×4 itu mempunyai permintaan di pasaran luar negara.

“Kenderaan curi ini akan dihantar ke negara jiran menggunakan jalan darat. Sebuah kenderaan dianggar dijual antara RM30,000 hingga RM40,000.

Tiga sindiket itu antara lapan kumpulan sindiket curi kenderaan yang ditumpaskan Polis Johor dalam Ops Lejang yang dilancarkan di seluruh negeri ini bermula 21 Jun hingga 21 Julai lalu.

Menurut Kumar, selain tiga sindiket curi kenderaan mewah dengan lapan tangkapan turut ditumpaskan adalah dua kumpulan curi kereta lama tempatan dengan enam tangkapan dan tiga kumpulan curi motosikal tempatan dengan 10 tangkapan.



Kumar berkata, sepanjang operasi dijalankan seramai 110 warga tempatan dan enam warga asing berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan membabitkan 112 lelaki dan empat wanita yang berusia antara 16 hingga 59 tahun.

Katanya, sebanyak 81 kenderaan dirampas dalam operasi itu terdiri daripada 25 kereta, sebuah van, empat lori, 51 motosikal dan 13 rangka motosikal selain turut merampas 30 komponen kenderaan dan pelbagai peralatan curi kenderaan.

“Peralatan yang kita rampas ini adalah satu tren baru yang digunakan sindiket-sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu dilancarkan bertujuan untuk mengekang kejadian jenayah daripada terus berleluasa terutamanya jenayah harta benda yang membabitkan kes curi kenderaan.



“Fokus sasaran operasi adalah untuk mengesan dan menangkap suspek terbabit, pemeriksaan bengkel kenderaan, kedai menjual dan membeli alat ganti kenderaan.

“Operasi ini turut menyasarkan bekas penjenayah, orang yang dikehendaki polis dan mereka yang berpotensi untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button