Sindiket scammer pelaburan rekrut remaja tak bersekolah, bayar RM3,500 sebulan

Oleh – Syeikh Baran


Sindiket scammer pelaburan rekrut remaja tak bersekolah, bayar RM3,500 sebulan
Ramli (dua kiri) menunjukkan antara rampasan barang kes susulan tumpasnya sindiket pusat pangilan tipu tawaran kerja di Sungai Besi, Kuala Lumpur Isnin lalu.

Empat remaja bawah umur yang dibayar RM3,500 sebulan oleh sindiket untuk melakukan kerja operator pusat panggilan tipu tawaran kerja online antara sembilan ditahan di Sungai Besi, di sini, Isnin lalu.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di sebuah kediaman yang dijadikan sebagai pusat panggilan (calling centre).



Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek berusia 14 hingga 40 tahun termasuk lima warga China yang ditahan berperanan sebagai operator panggilan dan pengurus data sindiket terbabit.

Katanya, serbuan ini bertindak merampas 18 telefon bimbit, empat komputer riba, lima set komputer selain beberapa barang lain.

“Siasatan mendapati empat remaja termasuk dua perempuan terbabit sudah tidak bersekolah dan dipercayai dibayar gaji RM3,500 sebulan bagi mencari dan menjerat mangsa di China.

“Dua remaja terbabit berusia 14 tahun dan dua lagi berusia 16 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Khamis.



Tambah Ramli, sindiket ini disyaki memulakan operasi sekitar Januari lalu dengan mengendalikan platform LEHUIGOUA yang digunakan sebagai laman web menyerupai platform e-dagang.

Beliau berkata, sindiket terbabit menjanjikan pulangan komisen yang lumayan kepada mangsa dan mendakwa bekerjasama dengan syarikat e-dagang bagi menjerat sasaran mereka.

Katanya, mangsa yang berminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan sembang di Telegram di mana segala arahan akan diberikan di situ selain menjanjikan komisen dari 0.3 peratus hingga 0.6 peratus.

“Siasatan kita juga mendapati sindiket mempunyai akses terhadap akaun mangsa di platform berkenaan yang membolehkan sindiket mengubah data seperti maklumat kredit dan keuntungan,” katanya.



Ujarnya, lima daripada suspek sedang direman sehingga Jumaat, manakala empat yang lain dibebaskan dengan jaminan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button