Kes Zayn Rayyan: Perintah larangan bersuara 5 pemilik akaun TikTok ditolak
Oleh – Syeikh Baran
Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan agar pemilik lima akaun TikTok dikenakan perintah larangan daripada mengeluarkan kenyataan dalam aplikasi itu yang didakwa menyentuh kes pengabaian ke atas Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Lima akaun tersebut adalah @be.malaysian.2.0, @cikpika_pika_ii, @myraskitchen00, @malaikatmaut382 dan @ceo.zayn.rayyan.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh sebaliknya mengarahkan pihak pembelaan membuat laporan kepada pihak berkuasa jika terdapat pemilik media sosial yang menggunakan kes tersebut sebagai kandungan yang mengundang komen subjudis dan menghina.
“Pada prosiding sebelum ini, mahkamah membuat perintah larangan bersuara (gag order) untuk pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini, namun jika ada aduan mengenai perkara ini, pihak pembelaan boleh mengadu kepada pihak berkuasa.
“Mahkamah sekali lagi mengingatkan semua pihak terutama orang awam agar tidak membuat komen subjudis yang menghina mahkamah,” kata hakim itu pada prosiding sebutan hari ini.
Terdahulu, peguam Fahmi Abd. Moin menarik perhatian mahkamah apabila memaklumkan ada lima akaun TikTok yang dikenal pasti membuat video siaran langsung bersifat subjudis dan seolah-olah melakukan buli siber terhadap kedua-dua tertuduh dan pihak pembelaan.
“Sekiranya dilihat dalam akaun-akaun itu, terdapat kenyataan, status dan komen yang berbentuk hasutan yang tak kena pada tempatnya.
“Kami mohon agar lima pengendali akaun ini dikenakan perintah larangan bersuara dan sekiranya mereka melanggar perintah itu, anak guam kami akan membuat laporan polis,” kata Fahmi yang mengendalikan kes bersama peguam Ilyani Khuszairy.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar berkata, memandangkan perkara ini baru dimaklumkan pada pagi ini, pihaknya masih belum sempat meneliti akaun-akaun tersebut.
Sumber – KOSMO! ONLINE