Suspek bunuh Nur Farah Katini tiba di mahkamah bagi pendakwaan

Oleh – Syeikh Baran


Suspek bunuh Nur Farah Katini tiba di mahkamah bagi pendakwaan
Suspek yang berusia 26 tahun tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu bagi pendakwaan. – Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

Suspek yang membunuh Nur Farah Kartini Abdullah tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Suspek yang berusia 26 tahun tiba pada pukul 9.05 pagi dengan dikawal ketat anggota polis dan pendakwaan terhadapnya dijangka akan bermula pada bila-bila masa.



Sebelum ini, tertuduh yang merupakan suspek ketika itu dilanjut reman selama tujuh hari sehingga 29 Julai ini selepas tempoh reman pertama tamat. Namun hari ini pendakwaan mendapat izin untuk pertuduhan dikemukakan kepadanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan kertas siasatan berkaitan kes pembunuhan Nur Farah Kartini akan diserahkan kepada pendakwaan untuk tindakan selanjutnya dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, usaha pencarian bahan bukti di beberapa lokasi termasuk tempat kejadian telah selesai dijalankan setakat ini.

Terdahulu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan kunci kereta dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan Nur Farah Kartini ketika melakukan pencarian bahan bukti di Sungai Trolak Kampung Batu 4, Perak.



Kunci itu ditemukan oleh seorang penyelam daripada unit berkenaan kira-kira pukul 11.20 pagi pada jarak 50 meter daripada jambatan kecil di sungai itu yang dipercayai menjadi lokasi suspek membuang barangan milik mangsa.

Polis turut mengesahkan penemuan kunci selain dompet dipercayai milik Nur Farah Kartini di sungai tersebut.

Sebelum itu pada 17 Julai lalu, polis telah menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa di dalam parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang yang turut menjadi lokasi utama pembunuhan tersebut.

Keesokan harinya, beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini turut ditemukan ketika operasi pencarian di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.



Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira pukul 6 petang pada 15 Julai. – KOSMO! ONLINE

 

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button