Premis jual jersi berjenama tiruan diserbu

Oleh – Syeikh Baran


Premis jual jersi berjenama tiruan diserbu
Penguat kuasa KPDN Perak memeriksa jersi tiruan yang dijual di sebuah premis di Jalan Istana Larut, Taiping semalam. – Foto IHSAN KPDN PERAK

Risikan selama dua minggu oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak membuahkan hasil apabila sebuah premis menjual jersi berjenama tiruan di Jalan Istana Larut di sini diserbu semalam.

Menurut Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu mendapati selain menjual jersi berjenama tiruan, ia juga disyaki menggunakan cap dagangan secara salah ke atas pakaian itu.



“Pemeriksaan lanjut ke atas premis berkenaan telah menemui sebanyak 673 unit pakaian jersi berjenama yang disyaki menggunakan cap dagang yang tidak sah.

“Wakil pemilik cap dagang telah membuat pengesahan awal dan kesemua pakaian telah disita bersama dokumen perniagaan serta invois yang berkaitan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, seorang penyelia premis warga tempatan berusia 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan, manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM15,389.

Kamalludin berkata, maklumat awal mendapati bekalan pakaian jersi ini diperolehi daripada utara semenanjung Malaysia.



“Kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 di bawah kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan atau kawalan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta yang sama,” katanya.

Beliau berkata, jika didapati bersalah, orang itu, bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM 10,000 bagi setiap barang yang diletakkan suatu cap dagangan berdaftar yang
dipakaikan dengan salah atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM 15,000 bagi setiap barang yang diletakkan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button