Britain akui alami masalah kewangan

Oleh – Syeikh Baran


Britain akui alami masalah kewangan
Orang ramai berjalan di hadapan Bank of England, London pada 20 Jun lalu. – AFP

Kerajaan baharu Britain mengakui bahawa negara itu kini mengalami masalah kewangan yang teruk selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada kerajaan terdahulu, lapor portal berita TRT World kelmarin.

Pendedahan itu dibuat menjelang penilaian kewangan awam pada hari ini, yang akan digunakan oleh Parti Buruh untuk menyalahkan Parti Konservatif berikutan kekurangan sebanyak £20 bilion (RM119.89 bilion) dalam perbendaharaan negara tersebut.



Parti Buruh dipilih bagi menggantikan Parti Konservatif untuk mentadbir negara ekonomi keenam terbesar di dunia itu selepas menang pilihan raya umum pada 4 Julai lalu.

Menteri Kewangan, Rachel Reeves akan mengemukakan penemuan semakan fiskal dalam satu kenyataan kepada Parlimen dengan mendakwa bahawa Parti Konservatif yang memimpin selama 14 tahun, membuat komitmen perbelanjaan tanpa pembiayaan untuk cuba memenangi sokongan orang ramai.

“Penilaian itu menunjukkan bahawa Britain ‘sudah ketiadaan wang’. Ini mendedahkan masalah yang dicipta oleh langkah politik populis terhadap ekonomi dan perkhidmatan awam.

“Ia juga menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu membuat komitmen pembiayaan yang besar untuk tahun kewangan ini tanpa mengetahui dari mana wang itu akan diperoleh,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri, Keir Starmer.



Dalam pada itu, Reeves juga akan mendedahkan tarikh belanjawan pertamanya selepas dilantik memegang jawatan itu.

Beliau juga akan menetapkan rancangan untuk proses semakan perbelanjaan rasmi yang menentukan jumlah wang yang bakal diperoleh oleh setiap jabatan kerajaan.

Sebelum ini, beberapa ahli ekonomi menyuarakan rasa ragu-ragu dengan menyatakan terdapat beberapa ‘kejutan besar’ yang tidak dapat diramalkan oleh Parti Buruh sebelum ia mendapat kuasa untuk memerintah Britain. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button