Lelaki larikan diri ketika Op Tapis ditemui mati

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki larikan diri ketika Op Tapis ditemui mati
MAYAT lelaki yang melarikan diri ketika pemeriksaan polis dijumpai terapung di Sungai Perak dekat Kampung Jagor, Gerik semalam.

Tindakan seorang lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis ketika serbuan Op Tapis di kawasan kebun durian berhampiran Titi Batu 6, Bersia di sini Khamis lalu, memakan diri apabila dia ditemukan mati semalam.

Mayat lelaki itu ditemukan orang awam dalam keadaan terapung di Sungai Perak dekat Kampung Jagor di sini.



Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, maklumat penemuan mayat itu dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 5.40 petang.

Katanya, mayat lelaki itu berjaya dibawa naik ke tebing pada pukul 7.40 petang dibantu anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Siasatan mendapati lelaki itu adalah individu yang melarikan diri ke arah sungai ketika serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada pukul 12.20 tengah hari, Khamis lalu.

“Operasi mengesan lelaki itu diaktifkan sehingga mayatnya dijumpai semalam,” katanya di sini hari ini.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button