Pengukuhan nilai ringgit kekang harga barang import naik

Oleh – Syeikh Baran


Pengukuhan nilai ringgit kekang harga barang import naik
Pengukuhan nilai ringgit telah meningkatkan keyakinan pelabur luar terhadap potensi kewangan dan sekali gus member kesan kepada perkembangan ekonomi negara semasa. –Gambar hiasan

Ringgit terus merekodkan pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan data-data ekonomi AS yang menunjukkan kelembapan terutamanya dari segi pasaran buruh serta kadar inflasi yang merosot.

Nilai ringgit mencapai paras 4.43 berbanding dolar AS pada pukul 5 petang.



Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, situasi di AS telah menguatkan lagi hujah bahawa pihak Rizab Persekutuan AS akan mengurangkan kadar faedah pada bulan September dan Disember depan.

“Justeru, jurang perbezaan antara Fed Fund Rate (FFR) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka mengecil dan ini menjadikan aset kewangan Malaysia seperti saham dan bon di­lihat mempunyai nilai yang lebih tinggi pada masa akan datang.

“Perkara ini telah mewujudkan permintaan terhadap mata wang ringgit oleh para pelabur asing yang mahu membeli aset kewangan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kadar inflasi di AS menurun buat kali ketiga berturut-turut kepada tiga peratus pada Jun lalu, terendah sejak Jun 2023, sementara kadar pengangguran berada pada paras 4.3 peratus pada Julai, menghampiri paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun.



Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengukuhan nilai ringgit dilihat mampu membawa kepada penurunan harga, terutamanya melibatkan barangan yang diimport.

“Bagaimanapun, ia akan mengambil masa, mungkin dalam masa sebulan dua, sebelum rakyat boleh melihat impak pengukuhan ringgit ke atas harga barang,” jelasnya.

Menyokong perkara yang sama berkaitan harga barangan, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengukuhan nilai ringgit untuk jangka masa sederhana dan panjang ini bakal membantu mengekang kenaikan harga barangan terutamanya yang diimport se­perti bawang, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Menurut beliau, nilai jumlah import makanan setahun me­lebihi RM60 bilion.



“Kebanyakan makanan adalah diimport daripada negara-negara jiran serantau, yang mana nilai mata wang mereka juga turut mengukuh berbanding dolar AS.

“Memandangkan keadaan semasa yang melibatkan penurunan nilai dolar, pengukuhan nilai ringgit dan juga nilai mata wang rakan dagang utama telah memberikan kestabilan kepada perdagangan daripada aspek kos serta logistik.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu mengawal kadar inflasi dan kos sara hidup dari pada terus menaik dan mengurangkan tekanan kepada rakyat dan PMKS,” jelas beliau.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button