Budak tular pandu Viva, bapa didakwa abai anak

Oleh – Syeikh Baran


Budak tular pandu Viva, bapa didakwa abai anak
Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh Amir Khalid/Kosmo!

Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabai dan gagal mengawasi anak lelakinya berhubung video tular kanak-kanak memandu Perodua Viva di sebuah taman perumahan di Puchong minggu lalu.

Bagaimanapun tertuduh yang berusia 53 tahun yang merupakan warga Pakistan dan bertaraf Pemaustatin Tetap itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.



Mengikut pertuduhan, bapa lima anak itu didakwa sebagai yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak lelakinya berusia 12 tahun telah mengabai dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkannya kepada kecederaan fizikal dengan cara gagal mengawasi kanak-kanak tersebut sehingga kanak-kanak itu memandu kenderaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Puchong sekitar pukul 7.30 petang pada 28 Julai lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (akta 611) yang boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) akta yang sama.

Hakim Ahmad Fuad kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi dan melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Tarikh 4 September ini ditetapkan sebutan semula kes.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button