Diugut sembelih lepas perli suami bawa madu ke Cameron Highlands

Oleh – Syeikh Baran


Diugut sembelih lepas perli suami bawa madu ke Cameron Highlands
Gambar Hiasan

Perbuatan seorang pemandu lori memukul dan mengugut untuk membunuh isteri kedua kerana berang mangsa memerli hasratnya untuk membawa isteri pertama ke Cameron Highlands, Pahang memakan diri apabila ditahan polis pada Sabtu lalu.

Menurut sumber, suspek berusia 58 tahun itu ditangkap di rumahnya di Bukit Katil di sini pada hari sama selepas mangsa membuat laporan polis.



Mengikut laporan dibuat, mangsa berusia 49 tahun mendakwa suspek telah memukul dan mengugut untuk menyembelihnya selepas mereka bertengkar tentang hasrat lelaki tersebut untuk membawa isteri pertama bercuti di Cameron Highlands.

“Pertelingkahan berlaku apabila suspek memarahi mangsa supaya menjaga anak lelaki berusia lapan tahun kerana dia mahu membawa keluarga isteri pertama ke tempat peranginan itu.

“Jawapan mangsa bagaimanapun dikatakan menimbulkan rasa tidak puas hati suspek sebelum lelaki itu mengambil sebilah parang dan meletakkan pada lehernya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Suspek kemudian menarik rambut mangsa dan mengheret wanita itu masuk ke dalam bilik sebelum mencampakkannya ke atas katil.



“Kejadian itu turut disaksikan anak lelaki mereka. Mangsa yang cedera berjaya melarikan diri sebelum membuat laporan polis.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut akibat serangan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat pegawai Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka di Bukit Katil kira-kira 4 petang, Ahad lalu.

“Polis merampas parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah,” kata beliau.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button