Lelaki didakwa tipu dapatkan kerja pramugari Singapore Airlines
Oleh – Syeikh Baran
Seorang tukang gunting rambut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menipu seorang wanita untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pramugari sehingga mangsa berdepan kerugian RM358,015, tahun lalu.
Tertuduh,Tan Chun Hooi, 37, membuat pengakuan tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.
Berdasarkan pertuduhan, Chun Hooi, telah memperdayakan seorang wanita berusia 38 tahun untuk mempercayai bahawa tertuduh berupaya mendapatkan pekerjaan sebagai pramugari di Singapore Airlines.
Perbuatan tertuduh itu mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM358,015 kepada tertuduh dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun bank yang dimiliki tertuduh di mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut jika tidak diperdaya sedemikian oleh tertuduh.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (akta 574) dan jika disabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 3 Julai 2023, kira-kira pukul 10.15 malam hingga 15 Disember 2023, kira-kira pukul 6.39 petang, di Paya Terubong, Ayer Itam, di sini.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ashraf Ali mencadangkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Peguam yang mewakili tertuduh, Yiew De Xien memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana tertuduh perlu menanggung neneknya.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 12 September depan.
Sumber – KOSMO! ONLINE