‘Kami guna alat pemadam api, tapi api marak cepat’ – Jiran
Oleh – Syeikh Baran
Jiran kepada tiga mangsa yang rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini awal pagi tadi terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
Seorang penduduk, Ghazali Abd Rahman, 53 berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah tidak jauh dari lokasi kejadian menerima panggilan daripada anaknya yang kebetulan keluar untuk makan di kedai makan berhampiran.
“Lebih kurang 1.30 pagi, saya dapat panggilan daripada anak lelaki yang baru sahaja keluar dari rumah nak pergi makan. Dia maklumkan kepada saya rumah sebelah ini terbakar.
“Saya pun bergegas keluar capai pemadam api. Sampai di lokasi memang api dah marak sangat jadi usaha nak memadam kebakaran pun sukar. Saya dan jiran tetangga lain cuba dekati rumah tersebut sebab nak pastikan kalau ada mangsa yang minta tolong.
“Rupanya saya dapati seorang kanak-kanak (Noradriana Nor Hisyam, 11) ditarik keluar, tapi keadaannya agak parah. Kakak mangsa (Norazima Mohd Radhi, 14) berjaya menyelamatkan diri dan meminta bantuan jiran tetangga yang mulai ramai di lokasi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut Ghazali, penduduk kampung kemudian menemui dua jasad berdekatan di dalam sebuah bilik yang meninggal dunia akibat rentung.
“Kami tak mampu nak selamatkan mangsa yang terperangkap. Memang terkilan sebab tak sangka ada orang dalam kediaman ini, memang kami agak rapat juga sebab dah lama tinggal di sini” katanya.
Terdahulu, tiga beranak meninggal dunia selepas kediaman mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 1.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhlis Aziz berkata, mangsa yang disahkan maut di lokasi kejadian adalah pasangan suami isteri warga emas, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76.
“Manakala seorang lagi mangsa kanak-kanak iaitu cucu kepada pasangan berkenaan, Noradriana dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
“Sementara itu, seorang lagi penghuni yang juga cucu mangsa, Norazima dilaporkan cedera di kepala dan masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini,” katanya ketika dihubungi.
Sumber – KOSMO! ONLINE