‘Teruskan siasatan kucing tergantung, terseret pada pikap’

Oleh – Syeikh Baran


‘Teruskan siasatan kucing tergantung, terseret pada pikap’
Beberapa gambar yang tular di media sosial sejak semalam memaparkan seekor kucing digantung serta diseret di belakang sebuah pacuan empat roda di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Persatuan Haiwan Malaysia menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) meneruskan siasatan terhadap pemilik kenderaan pacuan empat roda yang bertindak menggantung serta menyeret seekor kucing dalam sebuah video tular di media sosial semalam.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, ia demi menegakkan sistem keadilan jenayah haiwan di Malaysia sebagai satu pengajaran agar pemilik berhati-hati dalam mengurus dan mengendalikan haiwan di bawah tanggungjawab mereka.



Arie berkata, pihaknya juga mendedak agar DVS mengemukakan kertas siasatan (IP) kes kepada pihak pendakwaan untuk proses perundangan selanjutnya kepada pemilik kucing yang melakukan perbuatan itu di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

“Alasan tidak sengaja dan tidak tahu dalam laporan polis yang dibuat pemilik adalah seperti dijangka oleh Persatuan Haiwan Malaysia sebagai cubaan melepaskan diri daripada kaitan perundangan dan jenayah.

“Biarkan mahkamah menentukan tahap kes sama ada benar-benar kemalangan atau ada unsur jenayah disengajakan.

“Kekhuatiran terhadap niat sebenar pemilik terhadap kucing perlu jelas dan alasan kemalangan atau ketidaksengajaan tidak boleh diterima pakai oleh pihak berkuasa dengan mudah,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Tambah Arie yang juga Pengerusi Persatuan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Penyiasatan Malaysia, beberapa Seksyen dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015 ada menetapkan hak dan tanggungjawab terikat pemilik terhadap haiwan walaupun alasan tidak sengaja dan alasan kemalangan diberikan dalam laporan polis

“Antaranya Seksyen 27 membabitkan pengangkutan haiwan dan Seksyen 33 bagi kegagalan menjalankan penjagaan dan pengawasan yang munasabah,” katanya.

Tegasnya, pihak berkuasa haiwan digesa tidak lemah, malah perlu tegas, serius dan memberikan keadilan kepada kucing tersebut sejajar dengan peranan DVS sebagai badan keadilan dan kebajikan haiwan.

Terdahulu, tular gambar kucing yang tergantung di belakang pacuan empat roda yang didakwa berlaku di Simpang Ampat, Pulau Pinang.



Susulan itu, pemilik kucing terbabit membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat yang menafikan melakukan penderaan ke atas kucing itu.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button