Syedewa akan disiasat, muat naik ciapan aibkan polis

Oleh – Syeikh Baran


Syedewa akan disiasat, muat naik ciapan aibkan polis
Gambar dimuat naik Syedewa dalam aplikasi X mengenai dua anggota polis trafik yang melakukan sekatan jalan raya.

Polis sedang mengesan pempengaruh media sosial, Syedewa kerana memuat naik hantaran bertujuan mengaibkan imej penjawat awam sehingga tular di aplikasi X pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 7.30 petang semalam mengenai satu ciapan yang dimuat naik di akaun ‘Syedewa’.



Katanya, beberapa gambar dimuat naik di dalam ciapan itu memaparkan seorang pegawai polis sedang menjalankan tugas sekatan jalan raya kira-kira pukul 10.45 pagi di Damansara Damai, di sini, Selasa lalu.

“Hantaran tersebut dimuat naik dengan tujuan mengaibkan imej pegawai polis yang sedang menjalankan tugas.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Buat masa ini, kita masih kesan pemilik akaun untuk diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Tambah Shahrulnizam, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam penyebaran berita yang tidak pasti.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau saksi berkenaan kes ini boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Terdahulu, Syedewa atau nama sebenarnya Syed Mohamad Fahmi Syed Shabthar, 36, memuat naik satu ciapan meluahkan rasa tidak puas hati apabila ingin disaman oleh anggota polis trafik kerana dipercayai tidak memakai tali pinggang keledar.

Dakwa pempengaruh yang juga usahawan produk kosmetik itu, anggota polis berkenaan bertindak mengeluarkan saman tanpa menyertakan bukti yang kukuh apabila diminta.



Sehingga kini ciapan tersebut telah mendapat lebih 2,600 perkongsian dan 5,100 tanda suka.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button