Pecah rumah ketika buat kerja ubah suai

Oleh – Syeikh Baran


Pecah rumah ketika buat kerja ubah suai
Antara barangan hasil jenayah yang dirampas daripada tukang rumah tersebut.

Kelicikan seorang kontraktor rumah memecah masuk kediaman bersebelahan ketika melakukan kerja-kerja pengubahsuaian terbongkar selepas dicekup di tepi jalan Taman Bendahara di sini, semalam.

Penahanan suspek berusia 36 tahun itu dibuat kira-kira pukul 10.30 pagi susulan laporan seorang mangsa wanita berusia 56 tahun.



Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga penyelia asrama sebuah sekolah menengah agama di daerah ini yang mengalami kerugian kira-kira RM60,000 dalam bentuk wang tunai dan barang kemas, kelmarin.

“Siasatan mendapati mangsa menyimpan wang tunai dan barang kemas di dalam almari pakaian di dalam bilik tidurnya.

“Mangsa menyedari kesemua barang hilang semasa membuka almari selepas balik dari kerja kerana tiada kesan pecah masuk pada rumahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, bertindak maklumat kemudiannya membawa penahanan suspek warga tempatan di sekitar daerah ini serta merampas barangan kes.



Mohd. Ambia menjelaskan siasatan awal menunjukkan modus operandi suspek adalah menyasarkan kediaman tidak berpenghuni terletak bersebelahan rumah yang sedang dibaikinya.

“Suspek adalah kontraktor rumah dan melakukan kerja-kerja pengubahsuaian sejak lima tahun lalu. Dia dikatakan memasuki rumah mangsa melalui tingkap rumah.

“Hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai sembilan rekod lampau melibatkan pecah rumah dan curi dalam bangunan. Ujian saringan awal mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Kata beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pagi ini bagi proses reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button