Lelaki ditahan rakam video dalam tandas awam
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki dari Laos ditahan selepas didapati merakam video dalam tandas perempuan secara sembunyi, lapor laman berita Thaiger semalam.
Suspek dikenali sebagai Inkhamphane, 31, mengaku melakukan perbuatan itu dan menjana pendapatan beribu-ribu baht hasil daripada jualan video.
Polis memulakan siasatan selepas mendapat aduan daripada seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan beberapa mangsa lain mengenai kamera tersembunyi di tandas awam.
Menurut mereka, video-video itu tersebar di laman sosial dan kumpulan-kumpulan sembang.
Suspek mengaku merakam video dan menjualnya dalam kumpulan sembang persendirian dengan harga 100 baht (RM12.56) setiap minggu untuk akses kepada video.
Dia juga telah lama melakukan operasi tersebut, dengan memasang kamera tersembunyi di tandas awam di pasar-pasar daerah Rassada dan tempat awam lain.
Inkhamphane menghadapi pertuduhan memperdagangkan manusia dan mengedar bahan lucah.
Dia kini ditahan, manakala siasatan masih berjalan. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE