Lans koperal cedera terkena tembakan
Oleh – Syeikh Baran
Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera terkena tembakan ketika menjalani latihan menembak di lapang sasar Kompleks Latihan Tempur Jarak Dekat (CQB) VAT 69 Komando, Ulu Kinta dekat sini Selasa lalu.
Kejadian sekitar pukul 2.15 petang itu menyebabkan anggota berusia 27 tahun itu cedera di tepi telinga kiri.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, berdasarkan siasatan, kejadian berlaku apabila seorang pegawai kanan polis berpangkat inspektor telah terlepas tembakan dan mengenai mangsa.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, Terengganu itu sedang menjalani kursus pengendalian senjata api bersama 46 pelatih.
“Selepas kejadian tersebut, beberapa jurulatih termasuk pasukan perubatan telah memberi rawatan awal kepada mangsa bagi menghentikan pendarahan.
“Mangsa yang mengalami luka di tepi telinga kiri telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut. Setakat ini mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, latihan menembak yang disertai pegawai dan anggota polis itu melibatkan teori pengendalian senjata api dan latihan tembak statik hadapan pada jarak tujuh meter.
Katanya, semasa latihan disambung pada sesi petang, pelatih telah diberi arahan untuk mengosongkan senjata sebelum latihan bermula dengan pengawasan jurulatih.
“Selepas pemeriksaan dilakukan pada senjata dan telah dipastikan tiada peluru, latihan diteruskan dengan ulangkaji teknik memasuk dan keluarkan peluru dalam keadaan senjata tiada peluru manakala anggota dalam kedudukan formasi empat barisan.
“Semasa latihan ini sedang dibuat tiba-tiba terdengar satu tembakan dan telah terkena mangsa,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE