Bungkus senapang dengan kain, peluru dalam beg plastik

Oleh – Syeikh Baran


Bungkus senapang dengan kain, peluru dalam beg plastik
Gambar Hiasan

Polis merampas satu laras senapang patah dan 15 butir peluru hidup selepas menahan dua lelaki di tepi jalan di Sungai Lalang, Bedong di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejayaan itu hasil tindakan pantas tiga anggota unit rondaan bermotosikal (URB) yang membuat pemeriksaan selepas mendapati dua lelaki berumur 35 dan 58 tahun itu berada dalam keadaan mencurigakan.



“Pasukan URB itu sedang membuat tugas rondaan pada pukul 3.30 pagi tadi apabila terserempak dengan dua lelaki menunggang motosikal jenis Honda Ex5 dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan kemudiannya menemui selaras senapang patah yang dibungkus dengan kain selain 15 butir peluru hidup di dalam beg plastik,” katanya di sini hari ini.

Kata Wan Azharuddin siasatan lanjut kemudiannya mendapati kedua lelaki itu tidak mempunyai lesen memiliki senjata api selain tidak pernah memohon lesen menggunakan dan memiliki senjata api.

Wan Azharuddin

“Kedua-dua suspek dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda bersama senjata yang dirampas dan dan hasil rakaman percakapan suspek mengaku ketika ditahan mereka dalam perjalanan untuk memburu babi hutan di kawasan Sungai Lalang.



“Kita sedang melakukan siasatan terperinci untuk mengetahui bagaimana suspek memperolehi senjata api berkenaan,” katanya.

Kata Wan Azharuddin, kedua-dua suspek yang mempunyai pertalian itu akan direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 8, Akta Senjata 1960.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button