Datuk saudara mengaku amang seksual cucu enam tahun
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu saudaranya yang berusia enam tahun di Gerik.
Tertuduh berusia 54 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Gerik pada waktu pagi, pertengahan tahun 2024.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan minimum atas alasan bekerja sendiri selain menghidap penyakit batu karang dan tiada ahli keluarga yang hadir untuk membayar ikat jamin.
Rohaida kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Kes disebut semula pada 12 September depan.
Sumber – KOSMO! ONLINE