Tiga penguat kuasa lindungi aktiviti penyeludupan ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Tiga penguat kuasa lindungi aktiviti penyeludupan ditahan
Antara penguat kuasa ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Tiga penguat kuasa sebuah jabatan kerajaan ditahan reman selama lima hari untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, di sini, hari ini.

Perintah reman sehingga 16 Ogos itu dikeluarkan terhadap tiga lelaki berusia 30 hingga 40-an oleh Majistret Aslianlydia Asneh selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.



Menurut sumber, kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 4 petang hingga 11 malam dalam satu operasi di Pekan Keningau, semalam.

Katanya, tindakan diambil susulan seorang pegawai penguat kuasa disyaki menerima rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok dan melepaskan barang penyeludupan.

“Tangkapan terbaharu melibatkan dua lagi pegawai penguat kuasa susulan daripada tangkapan pertama berkaitan kes yang sama iaitu disyaki meminta rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok sekitar Keningau dan melepaskan lori serta barang penyeludupan yang telah ditahan oleh jabatan itu.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang direman hari ini dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Ogos ini,” katanya.



Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Sumber -KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button