Duit KWSP RM99,000 polis bantuan lesap ditipu scammer
Oleh – Syeikh Baran
Gara-gara terperdaya dengan sindiket penipuan atau scammer dalam urusniaga pembelian kenderaan tidak wujud, seorang polis bantuan sebuah bank di Marang kerugian RM99,000 simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya pada minggu lalu.
Mangsa berusia 50 tahun yang menyedari tertipu dengan sindiket penjualan kenderaan tidak wujud tersebut telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki itu tertarik dengan iklan penjualan kenderaan pelbagai jenis, Perodua Alza berkenaan yang dijumpainya menerusi aplikasi Telegram pada pukul 10 pagi, 8 Ogos lalu.
“Hasil rundingan, mangsa kemudiannya bersetuju membuat pembayaran RM26,000 bagi membeli kenderaan terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, suspek kemudiannya telah meminta polis bantuan terbabit yang menetap di bandar raya ini agar membuat lagi pembayaran kononnya sebagai deposit kastam bagi melepaskan kenderaan kononnya lelong terbabit.
Tambah beliau, suspek juga berjanji kononnya akan memulangkan wang deposit RM73,000 itu setelah urusniaga selesai sepenuhnya.
“Mangsa yang menurut arahan suspek telah memindahkan amaun wang terbabit ke dua akaun bank diarahkan menerusi lima transaksi.
“Dia mula terasa tertipu apabila suspek sekali lagi memintanya membuat pembayaran baharu atas alasan caj tambahan lain,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE