Kontraktor hulur rasuah RM500, elak kilang haram dikenakan tindakan

Oleh – Syeikh Baran


Kontraktor hulur rasuah RM500, elak kilang haram dikenakan tindakan
CHONG YOW Chong hadir ke mahkamah atas tuduhan rasuah di Mahkamah Seksyen Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

Seorang kontraktor mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM500 kepada pembantu penguat kuasa majlis, tahun lalu.

Tertuduh, Wai Chong Yow, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.



Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu memberi suapan wang tunai RM500 kepada pembantu penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kilangnya yang beroperasi tanpa lesen.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada pukul 11.30 pagi di Taman Perindustrian JB Perdana, di sini pada 24 Oktober 2023 dan disiasat bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi manakala tertuduh diwakili peguam Goh Sze Han.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain lapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.



Sze Han memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan seorang isteri serta dua anak berusia 10 dan 12 tahun yang masih bersekolah selain menanggung ibunya yang sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan dan sebutan semula kes pada 21 Ogos untuk serahan dokumen.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button