Pembantu tadbir didakwa kemuka dokumen palsu lebih RM22,000

Oleh – Syeikh Baran


Pembantu tadbir didakwa kemuka dokumen palsu lebih RM22,000
FOZIANA (baju kameja kelabu, tudung hitam) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memperdayakan pihak kolej dengan mengemukakan dokumen palsu. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP/ KOSMO!

Seorang pembantu tadbir sebuah kolej vokasional di Rembau didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdayakan pihak kolej dengan mengemukakan dokumen palsu berhubung baucar bayaran pembekalan barang keperluan pejabat berjumlah RM22,058.60 pada 2022 dan 2023.

Tertuduh, Foziana Isa, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.



Mengikut pertuduhan, Foziana sebagai ejen kerajaan iaitu pembantu tadbir dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu Kolej Vokasional Dato’ Undang Haji Muhammad Sharip satu dokumen baucar bayaran pembekalan barang keperluan pejabat berjumlah RM4,757.10 dan RM17,301.50 yang mana prinsipalnya itu mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu dilakukan di Kolej Vokasional Dato’ Undang Haji Muhammad Sharip, Rembau pada 5 Disember 2022 serta 6 Januari 2023 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan.

Peguam, Noramin Petra Nor Hanapiah yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan yang rendah RM5,000 atas alasan tertuduh dan suaminya masing-masing hanya bekerja sebagai pembantu tadbir dengan pendapatan purata kurang RM6,000 sebulan.



Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Seremban sebulan sekali sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 September 2024.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button