Tiga sekeluarga maut: Lelaki bakar rumah ditangkap merayau di Bukit Bintang

Oleh – Syeikh Baran


Tiga sekeluarga maut: Lelaki bakar rumah ditangkap merayau di Bukit Bintang
SUSPEK yang disyaki membunuh tiga ahli keluarganya sebelum membakar rumah pusaka di Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar, Jumaat lalu direman tujuh hari bermula hari ini.

Suspek utama yang dipercayai membunuh tiga ahli keluarganya termasuk ibu bapa sebelum membakar kediaman didiami mereka di Kampung Paya Redan di Pagoh, Jumaat lalu direman tujuh hari.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bermula hari ini sehingga 20 Ogos bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.



Suspek yang berjaya dicekup selepas lima hari menghilangkan diri dibawa ke Kompleks Mahkamah Muar kira-kira pukul 9.13 pagi tadi dengan dikawal ketat oleh pegawai dan anggota polis.

Lelaki yang masih bujang itu difahamkan berjaya ditahan ketika sedang merayau-rayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sekitar pukul 1 pagi tadi.

Penahanan itu dibuat oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah (BJSD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas menerima maklumat awam.

Dalam kejadian tragis yang meragut nyawa tiga ahli keluarganya pada Jumaat lalu itu, suspek dikatakan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal yang ditungganginya di Hentian Bas Bentayan, di sini sebelum menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).



Terdahulu, dalam kejadian awal pagi Jumaat lalu pasangan warga emas Mohamed Nor Mohamed Yassin,82, dan Ara Abdul Hamid,76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, 11 tahun maut selepas rumah mereka hangus dijilat api.

Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian manakala cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di HPSF.

Kanak-kanak berusia 11 tahun berkenaan kemudian selamat disemadikan di Tanah perkuburan Islam Kampung Paya Redan manakala jenazah datuk dan neneknya masih belum dapat dituntut sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan keadaanya yang rentung lebih 80 peratus.



Polis yang pada awalnya mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut menukar siasatan kepada 302 kanun keseksaan kerana membunuh selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada badan ketiga-tiga mangsa yang maut.

Sumber – KOSMO! ONLINE

 

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button