Jerit ‘CCTV’ selepas ditikam bertubi-tubi

Oleh – Syeikh Baran


Jerit ‘CCTV’ selepas ditikam bertubi-tubi
Tangkap layar mangsa bergelut dengan suspek yang menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah kedai aiskrim di Shah Alam kelmarin.

Jeritan seorang pengurus wanita rangkaian kedai aiskrim berhubung keberadaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berjaya menyelamatkannya daripada terus menjadi mangsa tikaman dalam kejadian di Taman Sri Muda di sini kelmarin.

Perkara tersebut dinyatakan rakan sekerjanya dikenali Nisa, 21, yang tiba di lokasi kejadian selepas dimaklumkan mangsa dikenali Farah, 21.



Kata Nisa, ketika kejadian mangsa yang berada di premis sendirian sedang membuat kerja di dapur.

Katanya, suspek lelaki yang memakai pelitup muka kemudiannya masuk ke kedai de­ngan gaya seperti pelanggan.

Pintu premis ketika itu tidak berkunci kerana kedai tersebut telah beroperasi bermula pukul 11 pagi hingga 10.30 malam setiap hari.

“Bagaimanapun, sangkaan mangsa itu suspek adalah pe­langgan meleset apabila lelaki itu terus ke bahagian dapur tempatnya berada dan me­ngacukan pisau pemotong ke­r­tas yang bersaiz kecil.



“Mangsa terus menyelamatkan diri dan cuba membuka pintu stor, namun berjaya ditahan suspek sebelum mukanya ditekup beberapa saat,” kata­nya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Difahamkan, terdapat hasil jualan kira-kira RM2,000 di bahagian stor tersebut.

Bercerita lanjut, Nisa memaklumkan berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek merampas telefon bimbit mang­sa yang sedang dicas.

Jelasnya, suspek kemudiannya membaling telefon itu ke bahagian kepala sebelum ditikam berulang kali oleh lelaki berkenaan.



“Bimbang terus diperlakukan sedemikian, mangsa kemudiannya menjerit ‘CCTV’ berulang kali sebelum suspek lari dari lokasi kejadian.

“Mangsa kemudiannya mendapat pertolongan lanjut daripada pekerja bersebelahan premisnya dengan terdapat torehan pada pipi muka kanannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian yang berlaku pukul 11.30 pagi tersebut menyebabkan mangsa mengalami tiga kesan torehan dan menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Mangsa yang dilaporkan stabil kemudiannya dibenarkan pulang kira-kira pukul 1 pagi semalam.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button