Lagi wilayah Russia isytihar darurat akibat serangan askar Ukraine

Oleh – Syeikh Baran


Lagi wilayah Russia isytihar darurat akibat serangan askar Ukraine
Sebuah kereta musnah di samping bangunan kediaman yang rosak berikutan serangan peluru berpandu di Kursk pada 11 Ogos lalu. – AFP

Ketua wilayah Belgorod mengisytiharkan darurat hari ini, dengan memaklumkan bahawa keadaan ‘amat sukar’ di wilayah sempadan tersebut di bawah pengeboman tentera Ukraine.

“Keadaan di wilayah Belgorod kekal sangat sukar dan tegang akibat tembakan oleh Angkatan Tentera Ukraine. Rumah musnah, orang awam mati dan cedera,” kata Gabenor Vyacheslav Gladkov di aplikasi Telegram.



Beliau menambah, bermula hari ini, keadaan darurat akan diperkenalkan di peringkat wilayah, diikuti dengan permintaan kepada suruhanjaya kerajaan untuk mengisytiharkan darurat persekutuan.

Belgorod terletak bersempadan dengan wilayah Kharkiv di Ukraine dan merupakan jiran wilayah Kursk.

Tentera Ukraine melancarkan serangan mengejut di wilayah Kursk dalam serangan rentas sempadan paling ketara di Russia sejak Perang Dunia Kedua.

Gladkov berkata, Belgorod juga diserang oleh dron askar Ukraine.



“Dua penempatan di wilayah Belgorod diserang oleh dron Angkatan Tentera Ukraine. Tiada kemalangan jiwa.

“Di Shebekino, berikutan beberapa serangan dron ke atas bangunan pangsapuri, sebuah apartmen terbakar dan papak runtuh. Talian bekalan gas juga rosak,” ujarnya.

Gabenor wilayah Kursk minggu lalu mengisytiharkan darurat berikutan pencerobohan tentera Ukraine.

Menurutnya, askar Kiev telah menembusi sekurang-kurangnya 12 kilometer ke wilayah itu dan menawan 28 bandar serta kampung. – AFP



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button