Juruterbang rakam UFO ‘menari ‘di langit

Oleh – Syeikh Baran


Juruterbang rakam UFO ‘menari ‘di langit
SEBUAH UFO yang dirakamkan oleh Ruud Van Pangemanan dari dalam kokpit pesawat. – Foto Ruud Van Pangemanan/YouTube

Seorang juruterbang merakam kelibat beberapa objek terbang tidak dikenali (UFO) bergerak dalam formasi seperti menari di langit pada awal pagi, lapor akhbar New York Post semalam.

Kapten Ruud Van Pangemanan yang juga seorang ‘vlogger’, sedang menerbangkan pesawat penumpang Boeing 747 dari Jeddah, Arab Saudi ke Abuja, Nigeria pada hari kejadian.



Kejadian berlaku pada awal pagi apabila dia melihat aksi menakjubkan itu dari tingkap kiri pesawat bersama dua lagi kru di dalam kokpit.

“Cahaya UFO di hadapan (mata) kami bergerak bebas. Kadang-kadang ke hadapan, belakang, kiri, kanan atau sebaliknya,” tambah Pangemanan.

Cahaya terang sekurang-kurangnya tiga objek itu juga dilihat berkelip-kelip tetapi hilang dalam tempoh beberapa saat. 

“Kami menyangka cahaya itu adalah pesawat tetapi ia tidak ada pada radar kami.



“Kami kemudian berpendapat mungkin ia ialah bintang. Namun, bintang-bintang berkelip dengan cepat dan tidak bergerak,” ujar Pangemanan.

Dia juga menafikan objek itu ialah satelit kerana banyak pelancaran Starlink milik bilionair Elon Musk, kerap disalah anggap sebagai UFO.

“Adalah mustahil untuk satelit bergerak seperti itu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang netizen mengulas pada vlog YouTube juruterbang itu dan berkata, dia telah melihat perkara yang sama.



“Saya dari Brazil. Semalam (10 Ogos) saya ternampak objek sama seperti ini! Ia berlegar-legar dan menuju ke arah rumah saya,” tulisnya. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button