Penduduk longgok sampah depan pejabat Datuk Bandar

Oleh – Syeikh Baran


Penduduk longgok sampah depan pejabat Datuk Bandar
Tiga buah trak pikap yang sarat dengan sampah tiba di pejabat datuk bandar pada petang Ahad lalu. – X

Pejabat Datuk Bandar Depok, wilayah Jawa Barat dipenuhi sampah-sarap selepas sekumpulan ahli Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) melakukan protes berhubung masalah pelupusan sampah di bandar itu, lapor laman berita Mothership semalam.

Dalam protes tersebut, tiga buah trak pikap yang sarat dengan sampah tiba di pejabat datuk bandar pada petang Ahad lalu.



Penunjuk perasaan kemudian mengeluarkan sampah-sarap lalu membiarkan ia bertimbun di hadapan pejabat Mohammad Idris.

Menurut laporan, kutipan sampah di seluruh Depok telah ditangguhkan selepas tapak pelupusan sampah utama di daerah Cipayung runtuh akibat lebihan kapasiti.

Seorang eksekutif PDI-P Depok, Ikravany Hilman memberitahu pemberita bahawa isu pengurusan sisa tidak ditangani dengan baik oleh pemerintah tempatan, yang sudah memerintah selama 20 tahun.

“Kita telah memberi peluang kepada (pegawai tempatan) untuk menguruskan bandar Depok termasuk isu pengurusan sampah selama 20 tahun. Namun, keadaan masih sama hari ini. Sebab itu kami membuang (sampah) di situ,” kata Ikravany.



Sementara itu, Mohammad Idris berkata, beliau dan pasukannya akan melancarkan siasatan terhadap protes tersebut, lapor laman berita Tribunnews.

Siasatan itu termasuk mengetahui sama ada sampah yang dibuang di hadapan pejabatnya adalah sampah peribadi atau yang dikutip daripada penduduk, serta berapa ramai pelaku yang terlibat dalam protes tersebut.

“Bergantung kepada hasil siasatan, perbuatan itu boleh dianggap sebagai kesalahan provokasi,” kata Idris.

Mengulas mengenai masalah pengurusan sisa, Mohammad Idris berkata, beliau sedang menunggu bantuan daripada Kementerian Alam Sekitar.



Ujarnya, sebuah mesin pemprosesan sisa dijangka tiba di Depok pada tahun ini dan akan beroperasi padda tahun depan. – AGENSI 

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button