Kaut rasuah RM190,000 lindungi premis hiburan haram

Oleh – Syeikh Baran


Kaut rasuah RM190,000 lindungi premis hiburan haram
Zahari ketika tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. FOTO: Syakir Radin

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pembantunya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah premis hiburan haram, tahun ini.

Muhamad Irwan Abdullah, 44, dan pembantu penguatkuasa DBKL, Zahari Muhammad, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.



Muhamad Irwan dan Zahari didakwa dua pertuduhan dengan niat secara bersama meminta RM200,000 dan menerima RM160,000 daripada seorang lelaki berusia 62 tahun.

Ini sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang penguatkuasaan terhadap premis-premis pusat hiburan tanpa lesen yang sah dibawah jagaan lelaki itu.

Muhamad Irwan yang merupakan bapa kepada lima orang itu turut dituduh menerima suapan RM130,000 daripada lelaki sama atas tujuan sama.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Puchong antara Februari hingga 5 Jun lalu.



Justeru, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 Akta SPRM.

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada prosiding di hadapan hakim sama, Pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Azrin Ramli,48 turut mengaku tidak bersalah memperoleh suapan wang tunai RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 42 sebagai dorongan tidak menguatkuasakan sepenuhnya Seksyen 46 (1) (a) dan (d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 yang telah dilanggar oleh syarikatnya.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM.



Azrin yang merupakan duda anak tiga turut didakwa pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahu atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu dilakukan di dalam kenderaan jenis Lexus di hadapan sebuah premis perniagaan di Hulu Langat pada 4.26 petang, 24 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman.

Manakala pembelaan diwakili masing-masing Peguam Mak Kah Keong, Ahmad Faiz Munawar dan K. Vasudevan Appu.



Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan keseluruhan RM15,000 kepada Muhamad Irwan dan Zahari bersama seorang penjamin dan tidak dibenarkan kacau ganggu saksi pendakwaan.

Azrin pula dibenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bersama penjamin. Kesemua tertuduh juga diperintah melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya dan Kuala Lumpur sebelum 7 hari bulan setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 30 September dan 2 Oktober depan.

Sumber – KOSMO!ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button