Pembunuhan kejam Cikgu Istiqomah: Suspek dijangka dituduh Isnin ini

Oleh – Syeikh Baran


Pembunuhan kejam Cikgu Istiqomah: Suspek dijangka dituduh Isnin ini
SUSPEK ketika dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman sebelum ini. disambung reman selama tujuh hari bagi.- Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

Pihak polis sedang menunggu arahan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) yang dijangka dikeluarkan lewat petang ini untuk tindakan lanjut pendakwaan terhadap suspek kes pembunuhan Istiqomah Ahmad Rozi, 33.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, sebarang arahan dikeluarkan PPN itu nanti bagaimanapun akan dikongsikan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah melalui kenyataan akhbar.



“Siasatan masih lagi berlangsung. Seperti mana yang saya maklumkan sebelum ini, apabila siasatan telah lengkap dan kita dapat arahan PPN dijangka lewat petang ini atau esok Ketua Polis Melaka akan mengeluarkan siaran media khas.

“Kita akan maklum juga bila suspek akan dituduh di mahkamah. Paling lewat esok (arahan PPN) sebab Isnin kita perlu tuduh suspek ini,” katanya ringkas kepada pemberita hari ini.

Kosmo! pada Isnin lalu melaporkan, suspek lelaki berusia 37 tahun yang disyaki terlibat dalam pembunuhan Istiqomah telah ditahan reman sejak 6 Ogos lalu bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek sebelum ini telah ditahan di Chemor, Perak bersama isterinya, namun wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selepas dipercayai tidak terlibat dalam jenayah tersebut.



Istiqomah yang merupakan ibu tiga anak dan guru di Sekolah Kebangsaa Kota Masai 3, Johor dilaporkan hilang pada 27 Disember tahun lalu selepas keluar bekerja.

Satu mayat tanpa kepala, tangan dan kaki kemudian ditemui dibuang di dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang pada 31 Disember tahun lalu dan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan identiti mangsa sebagai Istiqomah.

Ashari berkata, hasil risikan dan siasatan membawa kepada penahanan suspek yang merupakan kenalan Istiqomah ketika kedua-duanya melanjutkan pengajian di maktab perguruan.

“Kita percaya suspek dan mangsa berhubung bagi membincangkan pelaburan forex,” ujarnya.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button