Dua scammer rasuah pegawai kanan polis didenda RM60,000

Oleh – Syeikh Baran


Dua scammer rasuah pegawai kanan polis didenda RM60,000
KEDUA-DUA tertuduh diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka. -Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Seorang pengurus dan pekerja sebuah syarikat pelaburan tidak wujud didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana bersubahat serta memberi rasuah kepada pegawai kanan polis pada Jun tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh, Teo Teck Qing, 26, dan Keong Kah Wai, 19, sejurus pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.



Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati bersubahat dan memberi suapan wang tunai berjumlah RM60,000 kepada seorang pegawai kanan polis, Deputi Supritendan Supari Muhammad sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan undang-undang ke atas diri mereka dan rakan-rakan yang lain selepas didapati melakukan aktiviti penipuan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.15 tengah hari di hadapan sebuah pasar raya di Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah pada 1 Jun 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Peguam Alvin Tan Keng Yi yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar hukuman denda minimum diberikan dengan alasan anak guamnya kini tiada pendapatan tetap dan perlu menyara keluarga.



Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainuddin bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kesalahan rasuah dan aktiviti penipuan dijalankan amat serius.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 setiap tertuduh atau enam bulan penjara jika gagal bayar. Kedua tertuduh membayar denda tersebut.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button