Suami didakwa cuba bunuh, tolak isteri dalam gaung

Oleh – Syeikh Baran


Suami didakwa cuba bunuh, tolak isteri dalam gaung
Tertuduh, Mohd. Azzuan Ahmad, 39, lelaki yang sebelum ini ditahan kerana menolak isterinya hingga jatuh ke dalam gaung di Gerik, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di sini. -Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Seorang lelaki yang sebelum ini ditahan kerana menolak isterinya hingga jatuh ke dalam gaung di Gerik, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di sini.

Tertuduh, Mohd. Azzuan Ahmad, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan membuat ugutan jenayah dan cubaan membunuh dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.



Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa telah menakutkan secara jenayah dengan ugutan hendak menyebabkan kematian kepada Nor Diyanah Ahmad, 32, dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios melalui Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menuju Kuala Kangsar pada waktu malam, 26 Julai 2024.

Bagi kesalahan itu, Mohd. Azzuan yang juga seorang peniaga didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga turut didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh wanita itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan berdekatan Kilometer 31.2, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dalam daerah Gerik antara pukul 4 hingga 5 pagi, 27 Julai 2024.



Sabit kesalahan, Mohd. Azzuan boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda selain jika perbuatan berkenaan menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh turut boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan mencadangkan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan tiada jaminan bagi pertuduhan kedua kerana mangsa dalam kes ini merupakan isteri lelaki itu dan masih dalam perkahwinan yang sah.

Bagaimanapun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi memohon jumlah jaminan minimum atas alasan tertuduh mempunyai lima anak yang masih kecil dan bersekolah selain pendapatan tidak menentu dengan anggaran RM2,000 sebulan.



Menurut Hennie Soraya, tertuduh juga akan tinggal berasingan dengan isteri selama tempoh kes berjalan di mana dia akan menetap di Baling, Kedah bersama ibunya manakala mangsa pula menetap di Machang, Kelantan.

Rohaida kemudian memutuskan tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh bagi kedua-dua kes.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 19 September depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Menerusi laporan media pada 1 Ogos lalu, seorang wanita menempuh pengalaman menakutkan apabila nyaris maut di tangan suami sendiri selepas dicekik dan ditolak ke dalam gaung.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button