‘Kantoi’ beli lesen terbang
Oleh – Syeikh Baran
Hasrat seorang lelaki warga Bangladesh ‘membantu’ adiknya yang ditahan kerana memandu lori tanpa lesen memandu bertukar sebaliknya apabila membongkar dirinya yang mempunyai lesen terbang di Jalan Pendamaran, baru-baru ini.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari, Selasa lalu ketika lelaki berusia 27 tahun itu hadir dengan menaiki kereta jenis Kia Optima.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, pihaknya terdahulu menahan seorang lelaki yang merupaka pemandu lori muatan ais semasa rondaan penguatkuasaan kenderaan perdagangan oleh anggota Stesen Penguatkuasa Banting, pada hari sama.
“Siasatan mendapati warga asing itu menggantikan abangnya pada hari tersebut bagi membawa lori berkenaan.
“Anggota telah mengambil tindakan untuk sitaan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saman,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, sewaktu proses dokumentasi sita dilaksanakan telah datang seorang lelaki didapati abang kepada pemandu tersebut.
Ujarnya, lelaki tersebut hadir dengan memandu kereta Kia Optima dan membawa pasport rakannya itu.
“Anggota bertugas turut memeriksa pemandu Kia Optima tersebut dan mendapati lesen yang dikemukakan adalah disyaki palsu.
“Hasil siasatan awal mendapati lesen tersebut dibeli secara dalam talian di Facebook dengan bayaran sekitar RM2,500 pada dua tahun lalu,” jelasnya.
Azrin menegaskan tindakan sita dan saman turut dikeluarkan kepada pemandu tersebut.
Sumber – KOSMO!ONLINE