Penganggur pecah masuk Sky Awani diberkas polis

Oleh – Syeikh Baran


Penganggur pecah masuk Sky Awani diberkas polis
Ahmad Sukarno (tengah) menunjukkan barang kemas yang dicuri suspek dalam kegiatan pecah masuk di Sky Awani. Foto oleh KOSMO!/ M FIRDAUS M JOHARI.

Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam sembilan kes pecah rumah di Residensi Sky Awani 1 dan 2 di Sentul, di sini, ditahan polis pada 8 Ogos lalu.

Difahamkan, penganggur berusia 26 tahun dikenali sebagai Azmal ditahan sepasukan polis Risikan/ Operasi/ Rekod Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Kampung Baru, di sini, kira-kira pukul 9.30 malam.



Kegiatan lelaki itu juga berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) rumah mangsa dan telah tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki pada pukul 8.50 pagi, 1 Ogos lalu mendakwa kediamannya di Batu Muda, di sini, dipecah masuk suspek pada 31 Julai.

Katanya, siasatan mendapati sindiket tersebut dilakukan lelaki itu bersendirian dengan mensasarkan Residensi Sky Awani 1 dan Sky Awani 2.

“Suspek akan memanjat tembok batu di ruang jalan kaki dan masuk melalui pintu dapur rumah mangsa yang tidak berkunci sehingga tiada meninggalkan sebarang tanda pecah masuk rumah.



“Bagaimanapun, tindakan lelaki itu berjaya dirakam CCTV kediaman tersebut dan membawa kepada penahanannya di Kampung Baru pada 8 Ogos lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, siasatan lanjut mendapati suspek tidak tinggal di kondominium berkenaan dan menyelinap masuk bersama mengikut penduduk premis.

“ Suspek akan menyasarkan barangan berharga seperti barang kemas serta elektronik seterusnya memajak barang kemas serta menjual semula barangan elektronik yang dicuri.

“Susulan tangkapan itu, kita turut merampas dua telefon bimbit, salinan pajak gadai dan kad akses kondominium terbabit.



“Kita percaya kad akses yang dirampas daripada lelaki itu diambil daripada salah sebuah rumah yang dipecah masuk,” ujarnya.

Jelasnya, penahanan suspek itu telah menyelesaikan sembilan kes pecah rumah di sekitar Sentul.

Suspek direman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button