Lelaki mengaku tidak bersalah serang dua wanita di surau

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki mengaku tidak bersalah serang dua wanita di surau

Seorang lelaki yang menyerang dua wanita dalam insiden di kawasan Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah berhampiran Sekolah Rendah Agama (SRA) dua minggu lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh.



Bagaimanapun tertuduh Mohammad Ferdaus Mashud, 46, yang merupakan pekerja sambilan pengiklanan itu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd. Noor.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu Mohammad Ferdaus didakwa cuba membunuh dua wanita masing-masing berusia 26 dan 52 tahun dengan mencederakan kedua-dua mangsa objek tajam dengan niat atau pengetahuan yang akan sebabkan kematian. Tindakan tertuduh telah menyebabkan kecederaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Surau AL-Ehsaniah Ahmadiah Jalan SS 5A/10 di sini pukul 1.30 petang pada 9 Ogos lalu yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.



Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya K.S Rinisha Priyya tidak menawarkan sebarang jaminan dengan berhujah tegas bahawa kedua-dua pertuduhan yang didakwa terhadap tertuduh adalah serius.

“Sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan,” kata Rinisha Priyya.

Bagaimanapun peguam Kalilash Sharma yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan ikat jamin dengan jumlah yang munasabah kerana anak guamnya yang bekerja sendiri itu mempunyai tanggungan lima anak.

“Tertuduh juga sedia patuh dengan syarat-syarat jaminan mahkamah termasuk pasport diserahkan. Dalam kes ini tertuduh belum lagi didapati bersalah sehingga dibuktikan mahkamah,” kata peguam itu.



Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Hakim Noor Ruzilawati membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan.

“Tertuduh juga diperintah melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” kata hakim itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 September ini sebagai sebutan semula kes.

Terdahulu suspek yang menyerang dua wanita di kawasan di surau Al-Ehsaniah Ahmadiah berhampiran Sekolah Rendah Agama (SRA) di di sini berjaya ditahan.



Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, tangkapan itu dibuat pada pukul 1.30 pagi di sebuah kediaman di Kajang, Selangor.

Susulan kejadian itu, polis kemudian merakam keterangan tujuh individu termasuk guru besar yang menjadi mangsa serangan lelaki itu.

Guru besar itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk rakaman percakapan selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Dua wanita yang ditikam membabitkan seorang guru berusia 26 tahun dan seorang jurujual berusia 52 tahun. – KOSMO! ONLINE



 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button