Ditikam rakan gara-gara minta pulangkan motosikal

Oleh – Syeikh Baran


Ditikam rakan gara-gara minta pulangkan motosikal

Perselisihan faham menjadi punca seorang lelaki cedera ditikam dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Semenyih, di sini, semalam.



Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kejadian itu pada pukul 2.51 petang.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku akibat selisih faham antara mangsa berusia 23 tahun dengan suspek berusia 30-an.

“Perselisihan faham itu berikutan suspek gagal memulangkan semula motosikal yang dipinjam pada bulan lalu.

“Semasa pertemuan di rumah kakak mangsa, akibat dimarah, suspek kemudian telah mengambil pisau di dapur dan telah mengejar lalu mencederakan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Naazron berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang bagi rawatan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati tiga kesan tikaman di bahagian belakang pinggang dan satu di bahu kiri.

“Mangsa kini dalam keadaan sedar serta stabil dan masih dirawat. Polis sedang mengesan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah beliau, Polis Daerah Kajang menasihatkan masyarakat sentiasa tenang dalam menyelesaikan apa jua permasalahan dan tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang.



“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohamad Faeez Norzah di talian 013-2773407 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button