Dua lelaki parah, pandu kereta lawan arus elak dicekup polis
Oleh – Syeikh Baran
Polis menahan dua lelaki disyaki penjenayah yang terlibat dalam kemalangan ketika melarikan diri daripada anggota unit rondaan bermotosikal (URB) di persimpangan lampu isyarat, Pengkalan di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi itu, pemandu dan penumpang kereta jenis Toyota Vios, masing-masing berusia 45 dan 21 tahun terbabit mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, sebelum kemalangan berlaku, kedua suspek sedang dikejar unit URB Melaka Tengah dari Kampung Lapan hingga ke persimpangan lampu isyarat Pengkalan.
“Unit peronda polis (MPV) Alor Gajah turut membantu mengejar suspek. Setibanya di lokasi nahas, kereta dinaiki suspek telah memasuki laluan bertentangan dan bergerak melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah Nissan Navara yang sedang menuju ke Durian Tunggal dari arah Alor Gajah.
“Impak pelanggaran menyebabkan pemandu dan penumpang Vios mengalami kecederaan parah pada kaki kanan. Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Alor Gajah dan menerima rawatan, manakala pemandu Navara berusia 36 tahun tidak cedera,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Ashari, pemeriksaan lanjut kereta yang digunakan oleh suspek menjumpai dadah dan alat dipercayai digunakan untuk pecah masuk rumah.
“Kita mengesyaki kedua suspek ini adalah penjenayah dan mereka diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE