Pemandu jengkaut didakwa ‘pegang’ dua anak tiri

Oleh – Syeikh Baran


Seorang pemandu jengkaut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak tiri perempuannya pada tahun 2022 dan 2023.



Tertuduh berusia 44 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas dua beradik perempuan yang ketika itu berusia sembilan dan 14 tahun.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Bahtera, Pantai Remis di dalam daerah Manjung pada pukul 11 pagi, 2022 dan pada waktu siang dalam bulan Mei 2023.

Tertuduh juga didakwa dengan satu lagi pertuduhan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun dalam kejadian di lokasi sama pada waktu siang dalam bulan April 2023.



Ketiga-tiga pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Bagi hukuman di bawah pertuduhan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button