Najib tarik balik rayuan gugur hakim Collin dengar kes 1MDB

Oleh – Syeikh Baran


Najib tarik balik rayuan gugur hakim Collin dengar kes 1MDB

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik rayuannya berhubung permohonan menggugurkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada mendengar kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.



Perkara itu dimaklumkan Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib selaku perayu pada prosiding pendengaran rayuan itu di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Menurut peguam itu, beliau telah mendapat arahan daripada anak guamnya untuk menarik balik rayuan.

“Ini adalah kerana peguam kanan 1MDB Jasmine Loo Ai Swan telah selesai memberi keterangan selama 10 hari pada perbicaraan kes 1MDB.

“Oleh itu, kami menarik rayuan tanpa menjejaskan hak kami untuk membangkitkan isu berkenaan (untuk menggugurkan Hakim Collin) dalam rayuan utama sekiranya ada,” kata peguam itu.



Mendengar perkara itu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar tidak membantah perkara berhubung penarikan rayuan tersebut.

“Pihak kami tidak membantah dan bersetuju dengan syarat-syarat yang dinyatakan pihak peguam,” kata Kamal Bahrin.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak panel tiga hakim yang dketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali kemudian membatalkan rayuan Najib

“Dengan alasan-alasan yang diberikan menarik balik rayuan dan tiada bantahan maka diperintahkan rayuan perayu (Najib) dibatalkan.



“Namun mengenai recuse (gugur) hakim, ia masih boleh dibangkitkan dalam rayuan jika perlu,” kata Hakim Che Mohd. Ruzima.

Semasa prosiding dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah.

Sebelum ini, Najib, 71, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Ogos lalu tahun lalu yang mengetepikan permohonan beliau untuk menggugurkan Hakim Sequerah daripada mendengar kes perbicaraannya.

Ia selepas hakim itu mendedahkan bahawa Hakim itu dan Jasmine pernah berkhidmat di sebuah firma undang-undang bersama.



Dalam mengetepikan permohonan Najib, Hakim Collin yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata sejak Jasmine meninggalkan firma berkenaan pada Disember 2008, beliau tidak pernah berkomunikasi dengan wanita itu sama ada secara profesional atau peribadi.

Penghakiman lanjut turut menyatakan Najib pemohon gagal menunjukkan situasi berat sebelah (danger of bias) seperti yang didakwa selain hakim itu juga tidak lagi berkomunikasi Jasmine sejak 15 tahun lalu.

Jasmine telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung sebagai saksi pendakwaan (SP) ke-50.

Untuk rekod kes IMDB ketika ini telah ditetapkan pendengaran hujahan daripada kedua-dua pihak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.



Ia selepas pada 30 Mei lalu pihak pendakwaan menutup kes yang mana perbicaraan mengambil masa selama enam tahun dengan 50 saksi pendakwaan selesai memberikan keterangan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button