Azman didakwa bunuh tiga ahli keluarga, mengaku pukul Norazima

Oleh – Syeikh Baran


Azman didakwa bunuh tiga ahli keluarga, mengaku pukul Norazima

Suspek utama yang dipercayai membunuh ibu, bapa serta anak saudaranya sebelum membakar kediaman didiami mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini, 9 Ogos lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.



Tertuduh, Azman Mohamed Noh, 48, hanya menyatakan faham mengenai pertuduhan dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh ke atas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; Ara Ab. Hamit, 76 dan Noradriana Nor Hasyim, 11, antara pukul 1 pagi sehingga 3 pagi di rumah alamat No.33, Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, dalam daerah Muar pada 9 Ogos 2024.

Sabit kesalahan tertuduh hendaklah dihukum mati atau penjara bagi suatu tempoh yang tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Arif Marzuki memohon tarikh sebutan semula ditetapkan dalam tempoh dua bulan bagi serahan laporan forensik serta kimia susulan pertuduhan melibatkan tiga mangsa.



Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 24 Oktober sebagai sebutan semula bagi serahan dokumen.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin tertuduh juga didakwa telah menyebabkan cedera parah ke atas Norazmina Mohd. Razi,14, dengan menggunakan sebatang kayu iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dah hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Azman bagaimanapun membuat pengakuan salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.



Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir kemudian memohon tarikh baharu bagi serahan fakta kes, manakala Azman tidak diwakili peguam.

Nariman kemudian menetapkan 29 September depan bagi penetapan hukuman.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, suspek direman selama tujuh hari sejak Rabu lalu selepas lima hari melarikan diri dan dicekup ketika merayau-rayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Azman menjadi buruan polis selepas disyaki membunuh ibu dan bapanya, serta anak saudara berusia 11 tahun sebelum bertindak membakar rumah pusaka didiami mereka.



Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi, Jumaat lalu, dua warga emas ditemui rentung 80 peratus di dalam sebuah bilik selepas rumah didiami lima sekeluarga hangus terbakar dijilat api.

Kanak-kanak itu pula disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini selepas mengalami kecederaan parah pada kepala akibat hentakan objek tumpul.

Kejadian itu turut menyebabkan, Norazima patah tangan dan cedera di kepala disyaki dipukul suspek.

Sumber – KOSMO! ONLINE



 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button