Loceng terakhir elak UMNO dibenamkan lagi
Oleh – Syeikh Baran
UMNO bukan nama kecil, bukan kecil anak. Walaupun ada parti mahu meniru, terbukti tiada duanya. UMNO punca sebahagian besar pembangunan, pencapaian dan kestabilan dikecapi Malaysia hari ini.
Tujuh Perdana Menteri datang daripada UMNO, biarpun hakikat PM ke-7 juga adalah PM ke-4 dari UMNO. Juga PM ke-8 dan PM-10 merupakan bekas Timbalan Presiden UMNO.
Bagi orang Melayu dan bumiputera, mereka telah buktikan sokongan padu merekalah menjadi sumber kekuatan UMNO tonggak Barisan Nasional. Dukungan dan harapan itu jangan tidak disia-siakan.
Bak kata pepatah:
Uratnya tempat bersila,
Batangnya tempat bersandar,
Daunnya tempat berteduh.
Bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 selama empat hari bermula hari ini, parti terbesar orang Melayu itu mesti lebih lantang, berani dan yakin supaya kehadiran lebih dirasai masyarakat.
Terjemah dan laksanakan konsep transformasi politik sebagai hijrah minda dan sikap kepada yang lebih baik. Generasi lama UMNO telah menyumbang, yang penting sumbangan generasi hari ini sebagai penyambung risalah perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanah air ini.
Jika disenaraikan masalah dalaman UMNO semenjak zaman Tunku hingga kini kebanyakan isunya berpunca daripada pergeseran pimpinan, bukan daripada orang bawah. Seperti ikan, kepalanya berbau dan mudarat dahulu daripada bahagian lain.
Menjadi cabaran untuk tiga juta lebih ahli UMNO dan semua pemimpinnya menginsafi ada kalangannya telah terlalu jauh meninggalkan tuntutan perjuangan parti.
Latihan menghayati Fasal 3 ini boleh dikatakan dalam keadaan sambil lewa. Atau dalam peribahasa ‘terpijak pergi terlanda pulang’. Jangan masuk menjadi ahli UMNO bukan untuk berjuang, tetapi berangan-angan demi rezeki poket dan kedudukan.
Politik dan perjuangan bergantung kepada persepsi yang terasas kepada sentimen dan fakta. Untuk memperoleh kredibiliti tertinggi, pucuk pimpinan parti sendiri harus tampil memberi huraian tepat dan berkesan dengan tujuan memadamkan pelbagai sangkaan.
Deringkan diri dengan gegaran jam loceng terakhir untuk mengelak UMNO dibenamkan lagi – mesej buat 6,433 perwakilan yang akan memenuhi Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sepanjang empat hari ini.
Sumber – KOSMO! ONLINE