Bunuh ibu sebab selalu kena marah masalah wang

Oleh – Syeikh Baran


Bunuh ibu sebab selalu kena marah masalah wang

Berang sering dimarahi disebabkan masalah kewangan menjadi motif utama seorang pemuda warga Myanmar tergamak membunuh ibunya sendiri dalam kejadian di rumah sewa teres dua tingkat mereka di Seksyen 25 di sini, semalam.



Pembunuhan itu dilakukan suspek berusia 20 tahun yang juga anak sulung mangsa kira-kira pukul 4.30 petang dengan cara menikam beberapa kali menggunakan pisau terhadap badan ibunya berusia 40 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian tersebut disedari anak bongsu mangsa yang menemui ibunya dalam keadaan berlumuran darah sebaik pulang dari sekolah.

Katanya, kanak-kanak berusia lima tahun itu kemudiannya memaklumkan kepada jiran sebelah rumahnya yang seterusnya menghubungi polis kira-kira pukul 5.49 petang hari sama.

“Siasatan mendapati semasa kejadian mangsa berada seorang diri dipercayai sedang memasak di rumahnya.



“Berlaku pergelutan antara dua beranak itu dengan suspek telah menikam mangsa beberapa kali dengan menggunakan pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya kemudian berjaya manahan suspek di lokasi kejadian kira-kira pukul 7.30 petang selain merampas senjata digunakan suspek.

Tegasnya, siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku disebabkan suspek tidak berpuashati dengan mangsa kerana asyik memarahinya disebabkan masalah kewangan.

“Semakan mendapati suspek yang merupakan pekerja swasta itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.



“Setakat ini, kita mengambil keterangan daripada lapan individu bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd. Iqbal menambah, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan mati lemas akibat ditekup dan mempunyai kesan tikaman di perut.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 27 Ogos depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-8905051,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button